Punca Gigi Perlu Dicabut
Bila fikir tentang cabutan gigi, mesti anda akan fikir punca gigi kena cabut adalah disebabkan gigi rosak atau gigi yang goyang akibat usia. Sebenarnya, doktor akan mengesyorkan agar pesakit menjalani prosedur cabut gigi apabila kesihatan gigi telah terjejas yang tidak dapat dibaiki lagi.
Berikut adalah punca kenapa doktor akan mengesorkan cabutan gigi kepada anda:
- Gigi Rosak atau Berlubang – Gigi berlubang biasanya boleh ditampal. Tetapi apabila lubang semakin dalam dan bakteria sudah sampai ke akar gigi, ia mengakibatkan jangkitan pada saluran akar gigi. Jika lambat buat rawatan, gigi akan semakin rosak. Jika kerosakan gigi telah menjadi sangat teruk sehingga gigi tidak dapat diselamatkan, doktor mungkin mengesyorkan cabutan gigi.

- Gigi Patah, Retak atau Pecah – Jika gigi patah, retak atau pecah yang tidak boleh ditampal kerana pecah hingga ke akar, atau tidak dapat dipulihkan dengan rawatan Crown, kerana mungkin struktur gigi tidak cukup untuk rawatan Crown. Dalam kes ini, gigi mungkin perlu dicabut.

- Gigi Bongsu Bermasalah – Gigi bongsu biasanya tidak perlu dicabut. Ia akan dicabut jika gigi bongsu tersebut menunjukkan tanda-tanda seperti sakit dan bengkak berlarutan, gigi berlubang atau gigi terimpak yang mengganggu gigi lain.

- Gigi Goyang – Perkara paling biasa untuk kes cabut gigi adalah gigi yang dah goyang. Terdapat beberapa faktor juga yang menyebabkan gigi goyang, seperti faktor usia, trauma akibat kemalangan, dan masalah periodontitis (masalah gusi).
- Gigi Berlapis atau Jongang – Cabutan gigi seperti ini biasanya untuk kes-kes tertentu seperti pesakit nak pakai braces. Gigi yang perlu dicabut pula berdasarkan saranan doktor selepas doktor lihat x-ray dan keadaan gigi pesakit. Gigi-gigi tertentu akan dicabut untuk memberi ruang kepada gigi lain tersusun rata.

